Sejak dari awal abad ke-18 Masihi ibu kota negeri Kelantan ialah Kubang Labu yang terletak di tebing sebelah barat Sungai Kelantan di antara Kampung Pekan dengan Kampung Wakaf Bharu sekarang ini. Raja Kelantan yang terhakhir memerintah di Kubang Labu ialah Long Muhamad bin Long Sulong atau Tuan Long Nik. Baginda telah dikalahkan oleh Long Yunus yang datang menyerang Kelantan dari Terengganu kira-kira pada tahun 1750 Masihi. Berikutan dari peperangan itu Kota Kubang Labu telah rosak binasa dan rakyatnya telah melarikan diri ke tempat-tempat lain.
Setelah beroleh kemenangan, Long Yunus menjadi raja pemerintah Kelantan dengan gelaran Yang Dipertuan kira-kira pada tahun 1760 Masihi. Baginda membina kota istananya di Kampung Galuh yang terletak di tebing sebelah timur Sungai Kelantan berhadapan dengan Kampung Pekan sekarang ini. Pada masa itu Kampung Galuh dikenali juga sebagai Kampung Ce' Bu. Kampung Galuh mempunyai sebuah pangkalan yang dipanggil Pangkalan Leser atau Pangkalan Galuh. Pada masa sekarang ini Kampung Galuh lebih dikenali sebagai Kampung Kota Lama. Adapun kota atau istana yang dibangunkan oleh Long Yunus di Kampung Galuh itu dipanggil Istana Galuh. Long Yunus sebagai yang Dipertuan Kelantan bersemayam di Istana Galuh itu hingga akhir hayatnya pada tahun 1794 Masihi apabila baginda mangkat.
Seorang pengembara bangsa Cina bernama Hsieh Ching Kao yang telah melawat Kelantan di sekitar tahun 1780 Masihi telah menulis tentang negeri Kelantan yang dilihatnya pada masa itu. Dalam tulisannya itu beliau menyebut bahawa "raja (Kelantan) tinggal di pelabuhan dan di pelabuhan inilah pasar pagi diadakan dan kapal-kapal layar dari laut datang berlabuh. Di sekeliling pelabuhan ini ditanamkan pokok-pokok buluh sebagai benteng dan ditambahkan pula dengan dinding-dinding papan untuk memperkuatkannya. Hanya ada satu pintu gerbang sahaja dan penduduk tinggal di luar daripada lingkungan atau benteng buluh itu". Besar kemungkinan kota atau pelabuhan yang disebut oleh Hsieh Ching Kao itu ialah Kota Galuh dan Pangkalan Leser di zaman pemerintahan Long Yunus.
Sumber
Nik Mohamed bin Nik Mohd. Salleh (1984). Warisan Kelantan III. Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.