Kelantan, Negeri 'Cik Siti Wan Kembang' menyimpan seribu rahsia di sebalik kehijauan alam semula jadi, kegemilangan adat resam dan kebudayaannya yang masih kekal berkurun lama. Sinonim dengan pantai-pantai yang cantik dan bersih, hamparan sawah padi bak permaidani emas, kedamaian perkampungan nelayan serta keunikan hasil seni kraftangan sering menjadi bahan perbualan di kalangan para pengunjung yang datang bertandang.
Penduduk Kelantan yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama hidup aman dan harmoni. Bebilangan besar dari penduduk Kelantan berbangsa Melayu, mereka masih mengamalkan adat resam dan kebudayaan yang diwarisi dari generasi nenek moyang mereka. Penduduk Kelantan sememangnya dikenali dengan sifat lemah lembut, berbudi bahasa serta ramah mesra terutama sekali apabila menyambut tetamu tidak kira dari dalam dan luar negara.
Kelantan Darul Naim terletak di penjuru sebelah timur Semenanjung Malaysia dan berkongsi sempadan dengan Thailand di bahagian utara. Negeri ini ibarat khazanah berzaman yang memukau mata. Perkampungan indah nelayan, pantai dipinggir pohon-pohon palma, sawah padi subur menghijau dan permainan tradisional seperti wau, gasing. Masyarakat di sini masih mengekalkan adat resam dan tradisi turun-temurun mereka. Lantaran itu, kena pada tempatnya Kelantan digelar 'Akar Umbi Kebudayaan Melayu'.
Kota Bharu, Ibu negeri Cik Siti Wan Kembang yang pesat ini dengan tarikan masa silam sekaligus memberi pelancong peluang meneropong jauh ke dalam corak kehidupan masyarakat Kelantan yang unik. Wajah, bahasa dan hakikat Kelantan yang sebenar boleh dirakamkan di Pasar Budaya, habuan paling istimewa buat peminat fotografi. Suasana warna-warni dan meriah di bazar yang disukai oleh peniaga-peniaga wanita dengan bermacam-macam jualan termasuk sayur-sayuran, makanan laut, kuih-muih, batik, kraftangan serta jeruk sememangnya pemandangan yang tidak boleh dilepaskan.
Negeri ini tidak asing lagi dengan industri perkampungannya seperti percetakan batik, pertukangan perak, ukiran kayu dan tenunan songket, pusat budaya yang terletak di tengah-tengah bandar sungguh terkenal kerana mempamerkan kekayaan warisan kebudayaan dan tradisi negeri Kelantan. Di sini, pengunjung-pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi hebat bermain wau dan gasing piring yang boleh berputar selama berjam-jam tanpa henti disamping menghayati bunyi paluan rebana ubi, sejenis gendang besar berhias indah yang mengasyikkan. Sebagai hiburan waktu malam, disediakan persembahan muzik tradisional Melayu dan 'Wayang kulit' yang menggarapkan kombinasi kemahiran bermain dengan lampu dan gerakan boneka, di samping pertunjukan silat iaitu seni pertahanan diri tradisional masyarakat melayu. Terdapat pantai-pantai yang cantik di sekitar Kota Bharu misalnya Pantai Cahaya Bulan, Pantai Irama, Pantai Bisikan Bayu dan Pantai Sri Tujuh.
Kota Bharu adalah tempat terbaik bagi para pelancong untuk mengenali penduduk tempatan dengan lebih rapat lagi dari sudut kebudayaan dan kraftangan. Ia juga menawarkan pelbagai tempat yang menarik untuk dikunjungi.