Bercutilah ke Kota Bharu, bandar yang terletak di dalam negeri Kelantan ini sangat menarik bukan hanya kerana penduduknya yang ramah, tapi juga kerana suasana yang sentiasa hidup dengan aktiviti berjual-beli.
Selain itu, Kota Bharu juga adalah bandar yang memiliki paling banyak tarikan terkenal di Kelantan, daripada istana-istana lama, muzium-muzium dalam bangunan klasik, hinggalah kepada kedai-kedai makan yang best, Kota Bharu adalah sebuah destinasi dengan pakej percutian yang lengkap dari A ke Z.
PASAR SITI KHADIJAH
Antara barangan yang diniagakan di sini adalah tudung, batik, pakaian, kain dan banyak lagi dalam harga yang tak membuatkan anda berfikir 2-3 kali untuk beli.
Hasil-hasil segar seperti sayur, buah dan daging-daging juga sangat banyak di dalam pasar ni. Kalau anda nak bershopping dengan lebih tenang, datanglah seawal yang mungkin, seelok-eloknya sebelum waktu tengahari.
Alamat: Jalan Buluh Kubu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00 am – 6.00 pm)
MUZIUM DIRAJA ISTANA BATU
Muzium ini terletak di dalam sebuah istana lama (Istana Batu) yang telah dibina pada tahun 1939 ketika zaman pemerintahan Sultan Ismail Ibni almarhum Sultan Muhammad Ke-IV.
Ianya dibina untuk dijadikan hadiah perkahwinan kepada Sultan Yahya Petra dan Raja Perempuan Zainab II. Mulai tahun 1991, bangunan ini telah dijadikan sebagai Muzium Diraja yang memaparkan bermacam barangan milik Sultan Kelantan sejak dahulukala yang terdiri daripada pakaian, artifak, perabot, foto dan sebagainya.
Alamat: Jalan Tengku Puteri, 15300, Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Ahad – Khamis (8.30 am – 4.45 pm) | Jumaat (Tutup)
BAZAAR BULUH KUBU
Di sini terdapat bermacam jualan barangan kraf seperti wau yang berwarna-warni, beg tangan, barangan perak yang cantik, replika alat muzik mini, kasut buatan tangan, batik, songket dan macam-macam lagi.
Alamat: Jalan Buluh Kubu, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 9.00 pm)
BANK PITIS
Bezanya dengan Bank Kerapu adalah kerana ianya terbina jauh lebih awal iaitu ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad III (1889 – 1890) dan digunakan sebagai bank oleh Sultan Muhammad IV.
Bangunan kecil empat segi sama dengan saiz 12 kaki lebar dan 12 kaki tinggi ini terletak bersebelahan dengan laluan masuk untuk ke Istana Balai Besar.
Alamat: Jalan Istana, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
MENARA JAM TAMBATAN DIRAJA
Menara Jam Tambatan Raja adalah sebuah menara yang terletak bersebelahan dengan tambatan diraja.
Berada di pusat bandar Kota Bharu, menara jam ini adalah salah satu mercu tanda terbaru bandar ini. Berketinggian 150 kaki, menara ini mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 2011.
Anda boleh menaiki menara ini untuk menikmati pemandangan seluas pandangan mata termasuklah Sungai Kelantan dan sekitar bandar Kota Bharu.
Alamat: Jalan Sultan, 15400, Kota Bharu, Kelantan
ISTANA BALAI BESAR
Istana yang telah terbina ini telah dijadikan tempat bersemayam beberapa Sultan lain sehinggalah zaman Sultan Muhammad IV (1900 – 1920).
Istana ini kini digunakan sebagai tempat untuk diadakan majlis-majlis rasmi kerajaan. Namun begitu, para pelancong tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan istana ni, tapi tak salah untuk anda melihat keindahan seni binanya daripada kawasan pintu gebang istana.
Alamat: Jalan Tengku Seri Akar, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan
MUZIUM ADAT - ISTANA JAHAR
Buat bertahun lamanya istana ini menjadi tempat bersemayam sultan-sultan negeri Kelantan sehinggalah ia dijadikan Muzium Adat Istiadat pada tahun 1992.
Di dalam muzium ini, anda sekeluarga dapat melihat pelbagai peralatan khas yang digunakan sewaktu upacara kerajaan seperti tempayan, tembaga dan sebagainya.
Anda juga dapat melihat ruang pelamin diraja, kamar tidur, perahu diraja, kenderaan diraja, senjata-senjata lama dan banyak lagi!
Alamat: Jalan Sultan, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu
Waktu Operasi: Ahad – Khamis (8.30 am – 4.45 pm) | Jumaat (Tutup)
Bayaran Masuk: Dewasa RM2 | Kanak-Kanak RM1
Kelantan, Negeri 'Cik Siti Wan Kembang' menyimpan seribu rahsia di sebalik kehijauan alam semula jadi, kegemilangan adat resam dan kebudayaannya yang masih kekal berkurun lama. Sinonim dengan pantai-pantai yang cantik dan bersih, hamparan sawah padi bak permaidani emas, kedamaian perkampungan nelayan serta keunikan hasil seni kraftangan sering menjadi bahan perbualan di kalangan para pengunjung yang datang bertandang.
Penduduk Kelantan yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama hidup aman dan harmoni. Bebilangan besar dari penduduk Kelantan berbangsa Melayu, mereka masih mengamalkan adat resam dan kebudayaan yang diwarisi dari generasi nenek moyang mereka. Penduduk Kelantan sememangnya dikenali dengan sifat lemah lembut, berbudi bahasa serta ramah mesra terutama sekali apabila menyambut tetamu tidak kira dari dalam dan luar negara.
Kelantan Darul Naim terletak di penjuru sebelah timur Semenanjung Malaysia dan berkongsi sempadan dengan Thailand di bahagian utara. Negeri ini ibarat khazanah berzaman yang memukau mata. Perkampungan indah nelayan, pantai dipinggir pohon-pohon palma, sawah padi subur menghijau dan permainan tradisional seperti wau, gasing. Masyarakat di sini masih mengekalkan adat resam dan tradisi turun-temurun mereka. Lantaran itu, kena pada tempatnya Kelantan digelar 'Akar Umbi Kebudayaan Melayu'.
Kota Bharu, Ibu negeri Cik Siti Wan Kembang yang pesat ini dengan tarikan masa silam sekaligus memberi pelancong peluang meneropong jauh ke dalam corak kehidupan masyarakat Kelantan yang unik. Wajah, bahasa dan hakikat Kelantan yang sebenar boleh dirakamkan di Pasar Budaya, habuan paling istimewa buat peminat fotografi. Suasana warna-warni dan meriah di bazar yang disukai oleh peniaga-peniaga wanita dengan bermacam-macam jualan termasuk sayur-sayuran, makanan laut, kuih-muih, batik, kraftangan serta jeruk sememangnya pemandangan yang tidak boleh dilepaskan.
Negeri ini tidak asing lagi dengan industri perkampungannya seperti percetakan batik, pertukangan perak, ukiran kayu dan tenunan songket, pusat budaya yang terletak di tengah-tengah bandar sungguh terkenal kerana mempamerkan kekayaan warisan kebudayaan dan tradisi negeri Kelantan. Di sini, pengunjung-pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi hebat bermain wau dan gasing piring yang boleh berputar selama berjam-jam tanpa henti disamping menghayati bunyi paluan rebana ubi, sejenis gendang besar berhias indah yang mengasyikkan. Sebagai hiburan waktu malam, disediakan persembahan muzik tradisional Melayu dan 'Wayang kulit' yang menggarapkan kombinasi kemahiran bermain dengan lampu dan gerakan boneka, di samping pertunjukan silat iaitu seni pertahanan diri tradisional masyarakat melayu. Terdapat pantai-pantai yang cantik di sekitar Kota Bharu misalnya Pantai Cahaya Bulan, Pantai Irama, Pantai Bisikan Bayu dan Pantai Sri Tujuh.
Kota Bharu adalah tempat terbaik bagi para pelancong untuk mengenali penduduk tempatan dengan lebih rapat lagi dari sudut kebudayaan dan kraftangan. Ia juga menawarkan pelbagai tempat yang menarik untuk dikunjungi.