Pada tahun 1794 Masihi pemerintah Kelantan Long Yunus telah digantikan oleh menantunya yang bernama Tengku Muhammad dari putera kepada Sultan Mansur Terengganu (memerintah Terengganu dari tahun 1740 hingga tahun 1793 Masihi). Bonda Tengku Muhammad tersebut ialah orang Kelantan yang dikahwin oleh Sultan Mansur semasa baginda melawat Kelantan di zaman sebelum Long Yunus merajai negeri Kelantan. Tengku Muhammad ialah suami kepada Engku Tuan Nawi puteri kepada Long Yunus. Setelah menjadi raja pemerintahan Kelantan dengan gelaran Yang Dipertuan pada tahun 1794 Masihi, Tengku Muhammad membuat rancangan untuk membangunkan ibu kota yang baru bagi negeri Kelantan iaitu di Kampung Padang Lundang yang merupakan sebuah tempat yang lebih sesuai dari Kampung Galuh yang terletak berhampiran sangat dengan sungai senang bagi pihak musuh datang melanggar atau menyerang dan mengepung. Di samping itu pula Kampung Padang Lundang itu lebih besar kawasannya dan rakyat pun lebih ramai. Tetapi rancangan Tengku Muhamad itu tinggal impian sahaja dengan sebab sebelum sempat didirikan kota istana yang baru di tempat itu telah meletus perang saudara di antara pihak Tengku Muhammad Yang Dipertuan Kelantan dengan pihak putera-putera Long Yunus yang diketuai oleh long Muhammad dan pengikut-pengikut mereka yang terdiri dari orang-orang Kelantan. Perang saudara itu merebak menjadi perang antara Kelantan dengan Terengganu.

Dalam pusingan pertama perang antara Kelantan dengan Terengganu (iaitu antara pihak Tengku Muhammad, Yang Dipertuan Kelantan dengan pihak putera-putera Long Yunus) pihak Tengku Muhammad, Yang Dipertuan Kelantan yang disokong oleh hulubalang-hulubalang Terengganu dan Siak (sebuah negeri Melayu di Sumatera Timur) telah mengalahkan pihak putera-putera Long Yunus yang memberontak itu. Long Muhammad dan saudara-saudaranya serta pengikut-pengikutnya dari orang-orang Kelantan telah undur ke kawasan Pasir Lalat di Hulu Kelantan. Di situlah Long Muhammad dan orang-orangnya membuat persediaan dan rancangan bagi merebut negeri Kelantan dari tangan iparnya Tengku Muhammad. Pada kira-kira tahun 1799 Masihi Long muhammad dan pasukannya mara ke hilir Kelantan. Setelah bertempur dengan hebat beberapa hari negeri Kelantan dapat ditawan oleh Long Muhammad. Tengku Muhammad, Yang Dipertuan Kelantan dan pengikut-pengikutnya terpaksa berundur ke Kuala Terengganu buat selama-lamanya. Setelah beroleh kemenangan iaitu pada tahun 1800 Masihi, Long Muhammad menjadi raja pemerintah Kelantan sebagai Yang Dipertuan dengan bergelar Sultan Muhammad yang kemudiannya terkenal sebagai Sultan Muhammad I. Sesudah mangkat, iaitu dalam tahun 1835 Masihi, Sultan Muhammad dikenali sebagai Sultan Mandul kerana baginda tidak mempunyai anak. Di zaman kemudiannya baginda juga terkenal dengan gelaran Marhum Tua atau Marhum Mandul.

Mungkin sekali 'Kota' di Kampung Galuh yang telah dibina oleh Long Yunus itu telah rosak binasa akibat perang antara Kelantan dengan Terengganu pada tahun-tahun 1798-1800 Masihi yang tersebut itu. Mengikut cerita orang tua-tua Sultan Muhammad I mendirikan ibu negeri Kelantan di Pulau Saba yang terletak di tepi tebing timur Sungai Kelantan (di kawasan jeti Jabatan Kastam sekarang ini). Di atas Pulau Saba inilah Sultan Muhammad I membina Kota istananya dan lain-lain bangunan serta juga sebuah masjid. Pulau Saba telah menjadi pusat pemerintahanatau ibu kota negeri Kelantan selama 42 tahun iaitu dari tahun 1800 hingga tahun 1842 Masihi.

Sumber
Nik Mohamed bin Nik Mohd. Salleh (1984). Warisan Kelantan III. Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.